About WargaKilang

Sebahagian dari otai-otai WargaKilang.com

Wargakilang.com atau nama penuhnya Pertubuhan Amal Wargakilang Muslim Utara Malaysia bermula daripada sebuah diskusi group yang diwujudkan secara maya pada tarikh 21 Mac 2000. Diskusi group ini pada asalnya merupakan sebuah kumpulan diskusi khas untuk sekumpulan sahabat daripada sebuah kilang industri di Perai yang ditutup sekitar tahun 1999-2000.

Apabila pekerja-pekerja syarikat ini berpindah ke kilang-kilang lain, mereka berhubung sesama mereka secara maya melalui email. Apabila senarai email itu menjadi semakin panjang dengan kemasukan nama-nama kenalan baru mereka di kilang yang mereka baru sertai itu, maka perbincangan secara email itu kemudiannya ditukar kepada Yahoo Egroups yang dikenali sebagai warga_kilang@yahoogroups.com.

Ditadbir secara maya oleh seorang moderator yang memakai nickname Pak Berahim, Egroups warga_kilang@yahoogroups.com ini semakin berkembang dengan kemasukan rakan-rakan baru dari kilang-kilang yang lain, bermula dari Utara hinggalah ke seluruh negara.

Egroups ini terus berfungsi sebagai sebuah forum diskusi maya untuk ahli-ahli berkongsi cerita sesama mereka, hinggalah pada suatu ketika dua orang sahabat karib iaitu Mohd Warikh dan Mohd Monier mengambil inisiatif untuk masuk ke kampung-kampung di sekitar daerah Baling pada tahun 2003, menjengah kampung dan pedalaman desa di sana untuk menghulurkan bantuan peribadi kepada dua tiga orang fakir miskin yang ditemui mereka di sana.

Mohd Monier kemudiannya telah menulis beberapa artikel pendek dalam Egroups warga_kilang@yahoogroups.com ini pada tahun tersebut dengan tujuan untuk berkongsi cerita sesama ahli-ahli egroup berkenaan tentang aktiviti kebajikan mereka.

Tulisan-tulisan yang pada mulanya dikenali sebagai “Di Celah-Celah Kesibukan Kilang” telah berjaya menarik perhatian ramai rakan-rakan yang lain untuk turut serta dalam expedisi mereka yang seterusnya, yang kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan NGO Pertubuhan Amal Wargakilang Muslim Utara Malaysia atau pun ringkasnya Wargakilang.com pada tahun 2004.

Pertambahan ahli-ahli WargaKilang.com kemudiannya menyaksikan berbagai biro ditubuhkan secara ad-hoc untuk menguruskan dan melancarkan aktiviti-aktiviti berkumpulan WargaKilang.com.

Antaranya ialah Biro Amal yang mengepalai aktiviti-aktiviti Jalan Jalan Nasuk Kampung (JJMK), Biro Bisness yang bergiat aktif untuk mengembangkan berbagai bidang bisness kecil-kecilan yang tujuannya ialah untuk mewujudkan budaya usahawan di kalangan ahli-ahli.

Biro Motivasi pula aktif menganjurkan ceramah motivasi secara percuma kepada anak-anak bangsa diberbagai sekolah rendah, menengah dan juga di IPT yang berdekatan, juga tidak ketinggalan di beberapa buah kawasan taman perumahan atau surau atas jemputan jawatankuasa penduduk di situ.

Biro Kebajikan Ahli juga telah di wujudkan dan telah menganjurkan berbagai aktiviti sukan/riadah/perjumpaan untuk merapatkan hubungan silaturrahim dikalangan ahli-ahli yang datang daripada berbagai jenis sektor perkilangan di seluruh negara. Biro ini membantu meningkatkan moral dan semangat kerja di kalangan pekerja-pekerja kilang dengan berkongsi dan bertukar pendapat sesama mereka yang secara tidak langsung membantu mewujudkan suasana sihat di sector industri, sesuatu yang positif untuk kemajuan ekonomi Negara.

=============================
KEMASKINI TERKINI 13/06/2013
=============================
Wargakilang.com adalah sebuah pertubuhan berdaftar, ditubuh dan didaftarkan secara rasmi di ROS dengan nama Pertubuhan Amal Wargakilang Muslim Utara Malaysia pada tarikh 2 hb Mac 2005, dan kemudian didaftar semula dengan nama baru Pertubuhan Amal Wargakilang Muslim Malaysia pada tarikh 30 Mei 2013, bermatlamat mewujudkan kesedaran & awareness tentang kerja-kerja kebajikan/charity works di kalangan masyarakat. Wargakilang.com tidak menerima atau memungut sumbangan kewangan, dan menafikan sebarang pihak yang menggunakan website/fb/dll yang seakan mirror image wargakilang memungut dana atas nama Wargakilang sekiranya ada. T.Kasih

Leave a Reply