JJMK Ramadhan Zon Tengah : Antara Dua Darjat

Apa kita nak makan hari ini?

Ramadhan kini sudah masuk hari ketiga. Apa khabar iman kita? Apa khabar hati kita? Apa khabar amal kita? Apa khabar puasa kita.

Bercakap tentang puasa, kita sering bertanya atau ditanya oleh keluarga, khususnya anak-anak, “Apa juadah berbuka hari ini mak?. Kalau dipejabat, kawan-kawan salin berbicara, “U berbuka kat mana hari ni, I di Hotel de Palma. Ada jemputan dari client”

Itu mungkin dialog biasa hamba Allah di kota dan di desa atau di kawasan urban atau rural. Termasuk manusia yang tidak berpuasapun sama sibuknya berbicara dan berfikir tentang makan.

Sekali pandang, kita ni macam dah bertahun-tahun tak makan walaupun kerap kali kita membazir dan makan berlebih-lebihan.

Berbeda dengan segelintir insan. Pertanyaan, ”apa kita nak makan hari ini” kadangkala bukan pertanyaan di bulan puasa sahaja, namun ia persoalan yang menjelma bila tiba hujung bulan atau bila duit gaji yang diterima sebulan sekali itu sudah kehabisan.

Di Malaysia ni kita tidaklah sampai tidak makan, tapi kalau berada dicelah-celah hutan batu, memang tidak ada ulam-ulaman untuk dipetik dibuat sayuran. Apatah lagi kolam belakang rumah untuk mengail segala ikan puyu dan keli untuk dibuat lauk. Kadangkala berhutang sana sini untuk membeli makan.

Di bandar, semuanya duit! Tidak ada yang gratis (percuma). Sedepa melangkah sahaja, seringgit dua pasti diperlukan juga. Bukan sedikit kemiskinan yang ada di bandar. Maka ianya dinamakan miskin bandar.

Nasi lemak kopi o Ais

Bercakap tentang kemelut kemiskinan di bandar, saya teringat seorang rakan. Setiap hari dia menjamah Nasi lemak kopi o ais demi menyimpan wang untuk dihantar kepada adik-adik di kampung.

Rakan yang lain pulak, bila waktu tengahari akan bedal mee segera. Semuanya untuk berjimat. Mana lagi untuk membayar sewa, bil dan segala keperluan.

Itu kisah orang bujang! Bagaimana pula dengan yang sudah berumahtangga dengan gerabak keretapi masing-masing yang perlu dipenuhi keperluan fizikal, mental, emosi dan spiritual.

JJMK Ramadhan Zon Tengah : Antara Dua Darjat

Bersama orang kuat Wargakilang zon tengah iaitu saudara Warikh, Burhan, Faisal, Che Jaafar, Shahrul dibantu oleh Puan Azizah Mat Hassan dari PERWATI (Persatuan Ibu tunggal dan Warga Emas), kami menyelusuri rumah-rumah di celah-celah hutan batu untuk menziarahi insan yang memerlukan.

Warikh, Burhan dan Che Jaafar

Warikh dan Faisal (mencatit sesuatu..)

Berkongsi sedikit yang kita ada agar Ramadhan dan Syawal mereka lebih bermakna.

Dicelah-celah rumah mewah dan orang-orang yang berada kami temui rakan-rakan yang akan kami paparkan secebis dua kisah mereka sebagai renungan sambil membuka ruang untuk kita sama-sama membantu

Ustazah Sharifah… tabah mengharungi hidup membantu suami menyara keluarga

i. Ustazah Sharifah adalah seorang guru KAFA yang tabah. Suaminya hanya bekerja sementara kerana masalah kesihatan. Menanggung 5 orang anak yang masih bersekolah. Beliau turut membantu anak-anak yatim.

Dengan gaji seorang guru KAFA dan pendapatan kerja sambilan oleh suaminya, wanita yang tabah ini harus melakukan kerja sampingan seperti mengajar dari rumah kerumah dan membuat biskut raya agar bebanan yang ada mampu dikurangkan.

Disebabkan pelbagai kos yang perlu ditanggung daripada sewa rumah hinggalah kepada pendidikan anak-anak serta kos perubatan beliau. Anak-anak kadangkala tidak diberikan belanja sekolah bila wang yang ada tidak mencukupi.

Setakat ini tidak pernah meminta bantuan dari sesiapa samada individu atau organisasi.

Makcik Wan Hasnah hilang kedua dua kaki disebabkan penyakit kencing manis.

ii. Puan Wan Hasnah, berasal dari Sik dan berusia 63 tahun.

Ibu ini kudung kedua belah kakinya kerana penyakit kencing manis.

Kini tinggal bersama anak keempatnya yang bekerja sebagai penjual nasi lemak dan kuih muih.

Inilah troli yang digunakan oleh Makcik Wan Hasnah untuk ke bilik air.

Mendapat bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan. Duit itulah digunakan sedikit sebanyak membantu anaknya yang juga memiliki tanggungan mereka sendiri.

Anak-anak yang lain tidak dapat membantu kerana kemiskinan masing-masing.

Puan Muslimah… tetap ceria. Walaupun OKU, tetap membantu suami dengan perkhidmatan mengurut dari rumah kerumah.

iii. Puan Muslimah berusia 32 tahun merupakan wanita yang berhati mulia. Kemalangan yang meimpa menjadikan ia cacat kakinya sehingga dikategorikan sebagai OKU.

Walaupun kelihatan normal tapi kakinya sudah tidak boleh berfungsi seperti orang lain. Menjaga 5 orang anak yang semuanya masih bersekolah disamping ibu mertua yang sakit. Suaminya bekerja sebagai mekanik dan Puan Muslimah membantu dengan mengambil upah mengurut bagi mengurangkan bebanan suami untuk membayar sewa rumah dan pelbagai bil yang lain.

iv. Fatimah, gadis manis berusia 20 tahun itu adalah anak yatim piatu. Ibunya meninggal tahun lalu setelah bapanya terlebih dahulu mengadap Ilahi ketika dia berusia 3 tahun. Tinggallah Fatimah meneruskan perniagaan homeopati ayah dan ibunya untuk kelangsungan hidup.

Dengan pendapatan sekitar RM1000 sebulan itu, Fatimah gunakan untuk membayar sewa kedai, modal ubat-ubatan dan menyara adiknya yang sedang menuntut di sebuah sekolah Tahfiz di Perak. Kerana tidak suka meminta-minta, Fatimah terus berusaha mengusahakan perniagaan arwah ibu dan ayahnya. Kata fatimah, untuk berjimat, pakaian raya akan dijahit sendiri.

Tanpa komputer dan modal yang cukup, Fatimah berazam untuk menyambung pelajaran dalam bidang homeopati. Setidak-tidaknya pun secara online. Begitulah istimewanya gadis anak yatim piatu ini.

Secara ringkasnya, daripada 15 keluarga yang kami kunjungi, kami temui beberapa perkara yang boleh kita ambil teladan bersama iaitu:

Makcik Siti Zaharah, salah seorang Warga Emas yang dilawati.

i. Hampir separuh dari rumah yang kami kunjungi ada ahlinya yang mengidap sakit mental disebabkan oleh tekanan. Sempat saya berbicara dengan rakan-rakan, itulah kemelut dikota. Kemiskinan yang menghimpit membawa kepada tekanan yang akhirnya sakit mental bertambah statistiknya.

ii. Dicelah-celah kota, ada anak-anak yang masih sudi menjaga ibu masing-masing walaupun diri sendiri terkadang tidak mencukupi. Mudah-mudahan semangat mereka menjadi galakan untuk kita juga menjaga ibu bapa apabila mereka tua kelak.

Dalam Setiap Kekayaan Ada Hak Yang Perlu Ditunaikan

Memberi itu hadir apabila kita memiliki. Kita memberi bila kita punya sesuatu untuk diberi. Walaupun sedikit asalkan kita mengerti nikmat dan kelebihan yang akan dinikmati oleh orang yang suka memberi dan berkongsi.

Ada banyak sebab kenapa kita kena selalu memberi! Apa yang kita miliki adalah milik Allah. Semuanya Allah yang beri walaupun yang berusaha itu kita. Berilah hak dirimu, keluargamu, umahmu, agamamu. Ada zakat dan sedekah yang perlu kita tunaikan. Semuanya telah Allah peringatkan dalam Al-Quran dan dikukuhkan oleh Al-Hadis.

1. Allah swt berfirman tentang Emas dan perak. Firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 34 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

2. Allah swt juga berfirman tentang tanaman dan buah-buahan, Allah S.W.T menyatakan perkara tersebut di dalam surah an-An’aam yang bermaksud :

“Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”

3. Allah swt juga berfirman tentang hasil usaha, firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”

4. Allah S.W.T juga berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud : “Ambilah (sebahagian) dari harta (kekayaan) mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”

Serta surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud : “Dan pada harta-harta (kekayaan) mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

JJMK Ramadhan Zon Tengah : Antara Dua Darjat

Sempena Ramadhan yang mulia ini, jom kita menyumbang!

Roha Hassan bersama Kak Rosmi dan ibu… antara keluarga yang memerlukan bantuan yang dilawati.

Jomlah kita bantu apa yang patut. Tidak sama nasib kita dan anak-anak kita dibanding dengan anak-anak dari golongan yatim, miskin, ibu dan bapa tunggal serta warga emas yang memerlukan bantuan di Taman Koperasi Polis, Kampung Padang Balang dan Bandar Baru Sentul.

Bolehlah hubungi salah seorang dari kami jika anda ingin memberi walaupun bukan berada di kawasan yang disebutkan seperti berikut:

1. Kawasan Cheras dan sekitar – Warikh 019-470 1477
2. Kawasan Ampang dan sekitar- Roha 012-431 7948
3. Kawasan Subang dan Sg Buluh dan sekitar – Sharul 012-631 5244
4. Kawasan Shah Alam dan sekitar – Faisal 013-3475928
5. Kawasan Petaling Jaya dan sekitar– Borhan 013-3412057
6. Kawasan Seri Kembangan, Cyberjaya dan sekitar – Che Jaafar 0104030401
7. PERWATIE – Puan Azizah 013-6790657

JJMK Ramadhan Zon Tengah : Bermula dan Berakhir Di Rumah Anak-anak Yatim

JJMK Zon tengah kali ini sangat istimewa dengan perincian berikut :

1. Tarikh : 11 Ogos 2012
2. Jam : Mulai jam 10 pagi
3. Tempat pertemuan : Raudhatul Jannah.

Kita akan berkumpul di Rumah anak-anak yatim dan perlindungan Raudhatul Jannah di Taman Pelangi, Sentul. Pembahagian barang dan kumpulan akan di lakukan di RJ. Selepas agihan dilaksanakan kita akan beriftar (berbuka puasa) bersama-sama di Raudhatul Jannah sambil meraikan anak-anak yatim dan miskin yang berada di sana. InsyaAllah tazkerah dan solat terawih akan dilaksanakan di sana.

Sokongan dan bantuan dari semua amat kami hargai dan alu-alukan. Semoga Allah menambahkan rezeki kita melebihi apa yang kita beri.

Roha Hassan
Wargakilang
23 Julai 2012

This entry was posted in JJMK, Selangor/WP and tagged . Bookmark the permalink.

One Response to JJMK Ramadhan Zon Tengah : Antara Dua Darjat

  1. Pingback: Program Jalan Jalan Masuk Kampung (JJMK) Ramadhan NGO WargaKilang | WargaKilang.com

Leave a Reply